Semenjak menceburi larian 5KM ini, rasa seronok dan releas selepas sehari berlari. Fun Run 5KM ini Asid bukan lari sangat pun. Banyak masa berjalan dan briskwalk sahaja. Mula-mula run ni,memang badan semua sakit.. tapi beberapa hari lepas tu cari lagi event fun run 5KM.
Masih baru, baru 4 event Fun Run yang Asid join. Makin menarik dan suka lah baca sedikit-sedikit info tentang fun run.
Di FB, Asid suka baca post dari saudara Mohd Razali ni.

Semakin meningkat usia, tubuh kita mula kehilangan keupayaan semula jadi seperti kepadatan tulang, kekuatan otot dan kestabilan sendi. Inilah sebabnya aktiviti mudah seperti berjalan jadi sangat penting. Berjalan setiap hari membantu menjaga kesihatan jantung, melancarkan aliran darah, mengurangkan risiko strok, diabetes dan tekanan darah tinggi. Ia juga mengekalkan mobiliti pinggul, lutut dan buku lali supaya kita kekal lincah dan mampu bergerak bebas tanpa cepat rasa sakit atau lenguh.
Dalam masa yang sama, angkat beban bukan sekadar untuk bina badan; ia adalah “insurans kesihatan” untuk orang berusia. Otot yang kuat melindungi sendi, meningkatkan keseimbangan, membakar lebih banyak kalori walaupun sedang berehat, serta memperlahankan kehilangan otot (sarcopenia) yang biasanya berlaku selepas umur 40. Bila otot kuat, risiko jatuh, cedera dan sakit belakang pun jauh lebih rendah. Lagipun, kekuatan ini penting untuk tugasan harian — dari angkat barang dapur sampailah naik tangga.
Manakala mendaki bukit pula gabungan lengkap kardio + kekuatan + kestabilan. Aktiviti ini memaksa jantung bekerja secara sihat, melatih paru-paru, menguatkan kaki dan core, serta meningkatkan koordinasi badan. Permukaan tidak rata membuatkan otot stabilizer bekerja lebih kuat, menjadikan kita lebih kukuh dan kurang risiko jatuh. Selain fizikal, berjalan di bukit memberi kesan mental yang besar — suasana hijau, udara segar dan cabaran kecil setiap langkah buatkan otak lebih tenang, fokus dan rasa hidup kembali bertenaga.
Bila badan sihat, segalanya jadi mudah termasuk beribadah.

