Sukar Dapat Anak
Oct 2007 28

Sukar Dapat Anak629

Posted In Kehamilan,Tips

SEORANG teman yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga hampa apabila doktor pakar yang ditemui bagi mendapatkan rawatan kesuburan menasihatinya supaya menurunkan berat badan terlebih dulu melalui senaman dan kawalan pemakanan.

Katanya, dia benar-benar hampa kerana baginya, bukan mudah untuk menurunkan berat badan, apatah lagi apabila umur melebihi 30 tahun. Namun inilah hakikat yang perlu diterima. Kajian menunjukkan masalah berat badan, terutama obesiti, boleh menjejaskan kesuburan wanita dan lelaki dengan cara berbeza.

Berat badan unggul boleh diketahui melalui pengiraan Indeks Jisim Badan (BMI) iaitu secara membahagikan berat (dalam kilogram) dengan tinggi kuasa dua (dalam meter).Contohnya, jika seseorang individu itu mempunyai berat badan 70 kilogram dan ketinggian 153 sentimeter (bersamaan 1.53 meter), BMI beliau ialah 29.9. Ini bermakna individu berkenaan termasuk dalam kumpulan berat badan berlebihan.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Perkhidmatan Damai, Dr Mahes Sittampalan, kajian menunjukkan peratusan kejayaan untuk mencapai kehamilan melalui teknik persenyawaan in-vitro (IVF) agak rendah di kalangan individu yang mempunyai BMI terlalu tinggi (berat badan berlebihan dan obes) atau rendah (terlalu kurus).

Dalam kajian ke atas 400 pasangan, 21.8 peratus wanita mempunyai BMI kurang daripada kadar normal dan 22.3 peratus lagi mempunyai BMI melebihi 25. Keputusan ini menunjukkan masalah berat badan, sama ada terlalu kurus atau gemuk, boleh menjejaskan peluang mendapat anak melalui rawatan IVF. Banyak kajian terdahulu ke atas wanita di Belanda, Jepun, United Kingdom dan Australia membuktikan, berat badan berlebihan yang keterlaluan ada kaitan dengan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), iaitu antara punca utama masalah kesuburan.

Dr Mahes berkata, bacaan BMI yang lebih atau kurang daripada tahap normal boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon yang diperlukan untuk penghasilan telur (pada wanita) dan sperma pada lelaki.

Masalah ini banyak berlaku dalam masyarakat kita kerana tahun lalu saja dianggarkan 60 peratus wanita dan 40 peratus lelaki obes. Ini bermakna daripada 10 orang wanita, enam daripadanya tergolong dalam kategori gemuk. Jumlah ini didapati jauh lebih tinggi berbanding peratus kegemukan di Amerika Syarikat yang hanya mencatatkan 50 peratus (wanita) dan 30 peratus (lelaki) serta 52 peratus (wanita) dan 67 peratus (lelaki) gemuk di Australia.

“Dalam kajian lain, didapati 30 hingga 47 peratus wanita yang obes mengalami masalah kitaran haid tidak menentu. Penyelidik mendapati enam peratus daripada faktor yang tidak diketahui dalam ketidaksuburan disumbangkan masalah berat badan, sama ada terlalu gemuk atau kurus.

“Bagi wanita yang ada masalah berat badan berlebihan, kaedah rawatan kesuburan pertama ialah mengurangkan berat badan. Kajian menunjukkan lebih 70 peratus wanita boleh mengandung selepas mencapai berat badan ideal.

“Malangnya, sukar untuk menasihatkan wanita kurus supaya menambah berat badan jika mahu mengandung kerana kebanyakannya menganggap lebih kurus lebih baik dan sihat, sedangkan hakikatnya bukan begitu,” katanya

Bagaimana berat badan boleh mengganggu kesuburan?

Obesiti pada wanita boleh:

* Mengganggu proses ovulasi (penghasilan telur) atau tiada ovulasi langsung. Gangguan hormon menyebabkan pembesaran telur tidak sempurna atau tidak mencapai saiz yang diperlukan untuk ovulasi.
* Mengganggu kitaran haid.
* Memanjangkan tempoh rawatan untuk hamil. Jika mengandung pun, kandungan tidak stabil, terutama dalam tiga bulan pertama.
* Kurang respons atau tindak balas badan terhadap ubat kesuburan atau suntikan hormon.
* Memerlukan dos ubat atau suntikan yang tinggi.
* Risiko keguguran tinggi.
* Risiko tinggi menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi ketika mengandung.
* Meningkatkan risiko kecacatan bayi.
* Meningkatkan risiko bayi dalam kandungan bersaiz besar.

Wanita terlalu kurus:

* Kurang rembesan hormon.
* Kurang nafsu untuk hubungan seksual.
* Peratusan implantasi embrio dalam rahim lebih rendah.

Lelaki obes dan terlalu kurus:

* Jumlah sperma kurang.
* Jumlah sperma yang berbentuk tidak normal tinggi.

Perubahan fisiologi wanita dan lelaki

Pada wanita obes, hormon testosteron dan estradiol yang larut dalam lemak berkumpul dalam sel lemak hingga menjadi tepu. Sel lemak yang tepu ini kemudian menukar hormon lelaki yang lemah, androstenediona kepada hormon wanita lemah, esteron.
Kehadiran esteron mengganggu kesan metabolik kelenjar pituitari yang menjejaskan proses ovulasi. Kehadiran hormon androstenediona memberi kesan kepada wanita dengan berlebihan bulu roma di muka, leher dan buah dada (sebahagian daripada gejala PCOS).

Namun, terlalu kurus juga tidak bagus kerana wanita memerlukan 22 peratus sel lemak untuk membolehkan proses ovulasi berlaku. Jika sel lemak terlalu kurang, proses ovulasi dan kitaran haid akan terganggu.

Di kalangan lelaki, ada penyelidik mengatakan, pengumpulan sel lemak di sekitar testis menyebabkan peningkatan suhu yang menjejaskan penghasilan sperma.

Ini sebabnya zakar dicipta di luar badan supaya suhu badan yang tinggi tidak membunuh sperma. Bagaimanapun, kata Dr Mahes, lebih banyak kajian diperlukan untuk menyokong teori itu.

Berapa banyak perlu turunkan berat badan? Dr Mahes berkata, kajian di Itali, United Kingdom dan Australia mendapati, pengurangan sebanyak lima peratus cukup untuk memulihkan kitaran haid pada 60 peratus wanita yang mengalami masalah berat badan berlebihan.

Penurunan berat badan sebanyak 10 peratus akan meningkatkan peluang ovulasi sebanyak 50 peratus. Ini bermakna jika berat badan anda ialah 70 kilogram, jumlah yang perlu dikurangkan adalah tujuh kilogram saja. Ini akan meningkatkan peluang mengandung secara semula jadi dan tidak memerlukan rawatan kesuburan.

Malah, penurunan berat badan ini juga secara tidak langsung meningkatkan peluang kejayaan rawatan IVF. Pengurangan berat badan ini bagaimanapun tidak boleh dilakukan secara mendadak.Cara terbaik ialah dengan menukar corak pemakanan dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengurangkan karbohidrat.

Selain itu, setiap individu yang mahu mengurangkan berat badan disaran bersenam (30 minit sehari, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu) dan mengubah gaya hidup (buang tabiat merokok, belajar mengendalikan tekanan dan mesti cukup tidur). Jalan terakhir jika semua kaedah terdahulu tidak berjaya ialah menjalani pembedahan bariatrik; dengan nasihat doktor.

————————————————————————————————————————-

Petikan dari Harian Metro

Anda Mungkin Meminati:


629 Comments

  1. ummuauni says:

    br jer g jmpa doctor td inform kata ada polycystic ovarian syndrome…ptt la gagl prgnant tuk kali kedua….tp brat sy x lbih pon maintain ja….mcm mana ya rawatn n petua ada tak….

  2. syilah says:

    sy mengalami masalah berat badan berlebihan…sy skrg mempunyai anak berusia 3thn…kini sy dan husband merancang untuk baby yg kedua…adakah sy ada harapan untuk hamil lg??sy harap sgt dapat membantu sy…

  3. elisha says:

    hello ,saya nak tanya klu nak merancang nak ada anak/baby..dari segi permakanan boleh mempengaruhi kah? dan lagi satu, kita boleh makan @ minum benda yang panas atau sejuk ke tidak ?kerana saya tidak mempunyai pengalaman pasal benda ni semua.Thank you

  4. shazana says:

    betul ckp delia tu kita kena bsabarkan insyallah nanti kita bjaya dpt baby

Leave a Comment

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.