Sakit Jantung Ketika Hamil

Serangan sakit jantung lazimnya dirujuk kepada keadaan kesakitan jantung akibat ketidaknormalan degupan jantung yang disebabkan kegagalan otot yang mengalami infarksi.

Ini kebiasaannya berlaku akibat penyumbatan atau penyempitan saluran darah yang membekalkan otot jantung ini dengan plak lelemak. Penyakit jantung wanita hamil kini pula lazimnya disebabkan masalah ketidaknormalan jantung itu sendiri yang dibawa sejak lahir lagi.

Dulu, penyakit jantung wanita hamil juga kerap disebabkan jangkitan kuman (endokarditis) tetapi dengan peningkatan tahap kesihatan global, keadaan ini tidak lagi lazim berlaku.

Secara logiknya, memandangkan kebanyakan wanita hanya menjalani pemeriksaan kesihatan ketika pemeriksaan antenatal, tidak mustahil penyakit jantung ini hanya mula dikesan sewaktu hamil dan bukan sebelumnya.

Memandangkan usia kita semakin meningkat, eloklah lakukan pemeriksaan kesihatan sebelum memulakan kehamilan. Di samping itu, pemakanan rendah kolesterol dan senaman secara rutin juga elok diamalkan.

(Harian Metro, PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *