Puasa Ketika Hamil

NALURI ibu bapa menginginkan yang terbaik buat anaknya bermula dari saat kehamilan lagi. Kebimbangan terhadap kesan berpuasa ke atas janin sering menjadi persoalan apabila tiba Ramadan, lebih-lebih lagi tanpa didatangi haid seperti sebelumnya, kini mereka berpuasa sebulan penuh.

Berikut adalah beberapa fakta yang perlu difahami:

Kita sebenarnya juga ‘berpuasa’ sewaktu tidur setiap malam, cuma tempoh tidur mungkin tidak selama tempoh berpuasa Ramadan.

Waktu makan pada siang hari boleh diganti dengan waktu makan pada malam hari iaitu berbuka, selepas solat Maghrib, waktu sahur dan mengambil minuman berkalori sebelum tidur.

Negara kita tidak mengalami musim panas yang panjang pada siang hari. Tempoh berpuasa di Malaysia adalah di bawah 14 jam.

Kajian sains menunjukkan kelaparan melebihi 14 hingga 16 jam mendedahkan kita kepada perubahan metabolisma keto-asidosis yang boleh memudaratkan kesihatan.

Eloklah mengamalkan bersahur lewat dan segera berbuka apabila masuk waktunya. Di samping itu, ibu hamil juga perlu berbuka puasa jika mengalami tanda bahaya dan segera berbuka walaupun waktu Maghrib tinggal beberapa minit sahaja lagi.

Selain itu, memahami perubahan ‘normal’ yang berlaku dalam kehamilan meyakinkan seseorang untuk meneruskan berpuasa, tetapi dengan mengambil langkah berkaitan. Secara amnya, perubahan yang berlaku dalam kehamilan boleh dibahagikan kepada tiga fasa atau trimester.

Trimester pertama (bulan pertama hingga ketiga) adalah tempoh lazim berlaku ‘morning sickness’ seperti loya, muntah, pening kepala atau pedih ulu hati.

Kehilangan cecair badan daripada muntah kadangkala tidak cukup diganti dengan makan dan minum bagi wanita yang terganggu seleranya, hingga mereka berasa tidak bermaya walaupun baru saja beberapa jam berpuasa.

Tambahan pula, bau daripada pil suplemen asid folik dan zat besi turut menambah loya terbabit. Anda dijangka sudah melepasi fasa ini kerana ‘morning sickness’ jarang berterusan menjangkaui bulan keempat kehamilan.

Trimester kedua (bulan keempat, kelima dan keenam kehamilan) seperti yang anda alami sekarang adalah tempoh yang paling selesa. Selera makan kembali normal, malah mungkin bertambah.

Keseronokan menjadi ibu hamil yang kandungannya kini semakin jelas dilihat juga mempengaruhi psikologi anda menjadi positif untuk berpuasa tanpa gangguan.

Namun anda perlu berhati-hati kerana terdapat satu perubahan fisiologi kehamilan yang boleh mendatangkan kesan mudarat jika tidak dijaga.

Dalam trimester kedua, tekanan darah dijangka menjadi lebih rendah berbanding biasa, sehinggakan anda mudah berasa seperti hendak pitam jika berdiri terlalu lama, lebih-lebih lagi jika mengalami dehidrasi.

Elakkan perubahan posisi yang mendadak apabila hendak bangun.

Seeloknya daripada berbaring, anda duduk sebentar dahulu, kemudian bangun perlahan-lahan sebelum mula melangkah.

Selain itu, meminum air yang mencukupi sangat penting bagi menjaga hidrasi badan.

Anda juga eloklah mengurangkan aktiviti yang tidak penting untuk menyimpan tenaga serta mengelakkan dehidrasi dan kekurangan gula dalam darah misalnya berjalan-jalan membeli-belah di tengah panas.

Apabila anda memasuki trimester ketiga kelak (bulan ketujuh hingga kelahiran), anda mungkin semakin mudah penat kerana pengaruh saiz kandungan yang semakin membesar yang turut mengganggu pergerakan anda.

Anda mungkin akan mudah berasa mengah, sakit pada bahagian ari-ari, pedih ulu hati, sembelit, ketegangan akibat kontraksi Braxton Hicks boleh menjadikan anda tidak selesa dan mudah keletihan.

Ramai ibu hamil yang bekerja berpuasa hingga memasuki minggu kelahiran tanpa masalah bahaya kerana kebanyakan tugas tidak memerlukan aktiviti fizikal yang banyak.

Namun, ini mungkin tidak sama untuk setiap individu dan ada yang mungkin perlu mengambil rehat.

Penjagaan am yang lain juga perlu diberi perhatian.

Memakai pakaian yang selesa dan tidak ketat, tidak memakai kasut bertumit tinggi serta berhati-hati sewaktu berjalan (agar tidak mudah jatuh) serta berhati-hati sewaktu berkenderaan di jalan raya (kemalangan lebih kerap berlaku), semuanya dapat membantu kita menghadapi kehamilan dengan jayanya.

Petikan dari hmetro. Pakar Sakit Puan.

Info lain: http://www.asida.net/2007/09/11/puasa-bagi-wanita-yang-mengandung-dan-menyusui-anak/


2 thoughts on “Puasa Ketika Hamil”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *