Penyokong Skuad Kebangsaan Mahu Tunjuk Protes

Penyokong mahu tunjuk Protes

“Bukan niat untuk memalukan negara di mata dunia tetapi sekadar mahu menunjukkan bahawa kami sebagai pencinta bola sepak negara sememangnya dahaga dan inginkan perubahan drastik dalam pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).”

Demikian tegas seorang penyokong setia bola sepak negara, Amir Shariffuddin Samat berhubung tindakan segelintir penyokong negara yang dikatakan mahu berpakaian BAJU HITAM pada perlawanan Malaysia menentang Uzbekistan petang esok.

Skuad negara akan turun dalam aksi kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang esok selepas tewas 1-5 kepada China Selasa lalu.

Jelas Amir yang juga merupakan pemilik laman web kelab penyokong SelangorFC.com, bagi pihak penyokong sepertinya, memakai BAJU HITAM itu merupakan satu bentuk protes dan rasa tidak puas hati.

“Kami bukan bencikan skuad kebangsaan. Kami tetap akan membanjiri stadium kerana mahu pasukan negara menang, cuma tindakan memakai BAJU HITAM ini sebagai tanda protes kepada kecelaruan pentadbiran FAM,” jelasnya kepada KOSMO! semalam.

Tindakan memakai BAJU HITAM ke stadium dilaporkan turut akan disertai oleh ahli komuniti-komuniti peyokong bola sepak dari negeri lain. Antaranya www.hijaukuning.com (Kedah), www.yob4ever.com (Perak), www.tokgajah.com (Pahang) dan www.ganusoccer.net (Terengganu) yang tinggal di sekitar Lembah Kelang.

“Untuk menyedarkan FAM bahawa kami penonton juga ada hak bersuara, jadi kami mengenepikan perbezaan sokongan pasukan negeri masing-masing dan bersatu demi mendesak perubahan dilakukan dalam FAM demi kemajuan bola sepak Malaysia,” ujar Amir.

Sementara itu wakil dari www.hijaukuning.com yang hanya mahu dikenali sebagai Fakhzan berkata, satu banner besar akan dipasang mereka pada perlawanan petang esok.

“Selain itu, kami juga akan mengedarkan flyers kepada para penyokong Malaysia yang hadir ke stadium esok. Kami bukan mahu buat rusuhan, tapi protes ini adalah secara aman tanpa kekerasan fizikal,” jelasnya.

Fakhzan turut mengalu-alukan peminat negara yang akan ke stadium petang esok untuk turut sama-sama mengenakan BAJU HITAM baju menjayakan protes secara senyap terhadap FAM itu.

Petikan Artikel Penuh Kosmo! 13 Julai 2007

4 thoughts on “Penyokong Skuad Kebangsaan Mahu Tunjuk Protes”

  1. Malaysia kalah lagi. 0-2 vs Iran. tapi kali ni macam ada peningkatan sikit sebab diaorg macam bersungguh2 main. macam bersemangat sikitlah. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *