Nangka Sepuluh Tinggal Sembilan

Muliakanlah Anak Yatim

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda,

“Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua ini di syurga kelak. Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan). ” (Riwayat Bukhari)

Huraiannya:

Akibat kematian ayah atau ibu, seorang anak akan merasakan suatu kekosongan dalam hidupnya. Kosong dari curahan kasih sayang dan segala aspek yang memenuhi keperluan hidup seperti makan, minum, pakaian, dan lain-lain. Ini menyebabkan seseorang anak yatim itu selalu dihantui oleh perasaan sedih dan hampa. Realiti yang ada di tengah masyarakat sekarang menunjukkan bahawa majoriti anak yatim yang tidak mendapat perhatian yang sewajarnya mengharungi kehidupan yang begitu sukar, menyedihkan dan tersisih. Islam, sebagai agama yang menitikberatkan perihal kasih sayang sangat menekankan agar kita mengambil berat terhadap anak yatim sehinggakan al-Quran sendiri secara khusus banyak membicarakan masalah anak yatim ini lebih daripada perihal anak-anak yang lain secara umum.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya:

“Rumah yang terbaik adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang dihormati dan diperlakukan dengan baik. Rumah yang terburuk adalah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim yang dizalimi dan diperlakukan dengan buruk. Anak yatim yang mendapat perhatian dan kasih sayang yang cukup daripada mereka yang menjaganya semestinya akan merasa bahagia dan aman. Namun sekiranya ia tidak mendapat apa yang seharusnya ia peroleh, hidupnya akan rosak dan hal ini menjadi lebih parah jika ia jatuh ke pangkuan orang yang tidak bertanggungjawab yang mendidiknya secara salah dan membentuknya menjadi peribadi yang merugikan masyarakat.

Allah juga telah berfirman, yang bermaksud,

“Tahukah kamu (orang) yang mendustakan agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin. Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang salat, (yaitu) orang-orang yang lalai dari salatnya, orang-orang yang berbuat ria, dan enggan (menolong dengan) barang berguna.” (Surah 107 Al-Maa’uun, ayat 1-7)

Kisah di bawah benar-benar menyentuh perasaan. Semoga ia memberi pengajaran kepada kita semua.

Oleh Sabri Hashim

AWANG berdiri diam. Terhendap-hendap memandang ke dalam surau. Tiada siapa perasan dia di situ. Di tepi pintu masuk. Suara kanak-kanak mengaji Muqadam riuh-rendah. Bising seperti di pasar ikan. Itu Awang tidak peduli. Dia begitu asyik melihat mereka mengaji Muqadam dan al-Quran. Dia berasa seronok dan terhibur. Dia teringin sangat hendak bersama mereka. Nanti dia akan khabarkan kepada ibu. Itu cita-citanya sekarang.

“Ibu, adik nak belajar baca Muqadam,” kata Awang perlahan, tapi jelas lepas makan malam.

Tersentak si ibu mendengarnya. Mata perlahan-lahan tunduk merenung lantai rumah setinggan yang tidak bersimen itu.

“Awang… Awang…. manalah ibu mampu. Kita miskin. Serba-serbi kekurangan. Manalah nak cari duit. Kalau bapa adik masih hidup….” Si ibu berhenti bercakap di situ. Sedih. Awang satu-satu anaknya di dunia ini. Dialah intan. Dialah payung segala-galanya.

Sementelah Awang telah lama berhenti sekolah. Bantu si ibu bekerja. Bekerja di bandar. Basuh pinggan dan gelas di restoran nasi kandar. Usianya kini baru 10 tahun.

Terkebil-kebil mata Awang seperti cicak telan kapur.

“Tapi bu, bapa Hassan bagi pulut kuning je hari itu. Tiada duit pun boleh mengaji,” kata Awang merajuk. Dia masih kecil. Tidak mengerti makna salam bersampul dalam kehidupan kini.

“Hmm… kita makan nasi pun tak cukup. Inikan pula nak kasi pulut kuning kepada orang.”

Dua beranak itu diam seketika. Tiba-tiba Awang melompat ceria. Menerkam ibunya di muka. Terkejut si ibu.

“Apa kata bu, kita bagi nangka kepada Tok Guru sebagai….”

Belum habis Awang bercakap ibunya mencelah pantas.

“Hish! Tak pernah orang buat. Mana boleh. Malulah sikit. Sekarang zaman canggih. Ada duit semua beres.”

“Belum cuba belum tahu. Awang cuma mahu keizinan daripada bu saja. Bolehkan?”

Entah daripada mana idea datang pun tak tahu. Kalau niat baik mesti ada jalan. Itulah terjadi ke atas Awang. Si ibu mengalah. Keinginan Awang terlalu kuat.

Esok awal-awal pagi lagi Awang sudah berada di bawah pohon nangka. Pokok itu terletak di belakang rumahnya. Dia tengok ada sebiji nangka sebesar bola bergayut di batang pokok. Bau harum semerbak mencucuk deria hidungnya. Dia tahu nangka itu sudah masak ranum. Boleh dipetik. Dia bawa masuk ke dalam rumah. Dia belah buah nangka itu. Dia lihat ada 10 ulas isi nangka. Dia beri seulas kepada si ibu untuk merasa. Baki sembilan habuan untuk Tok Guru.

Petang hari Awang siap sedia dengan baju Melayu lusuh. Songkok kelabu tertenggek di atas kepala. Di tangan sebungkus nangka. Dalam beg plastik hitam. Si ibu sediakan tadi. Dibalut dengan surat khabar. Awang tunggu semua kanak-kanak meninggalkan surau dulu. Baru dia masuk menemui Tok Guru. Awang bersila tertib di hadapan Tok Guru. Tok Guru memandang Awang dengan mata membulat.

“Assalamualaikum Tok Guru. Saya Awang. Tinggal di rumah setinggan sana. Datang sini ingin belajar dengan Tok Guru,” kata Awang sedikit gementar, tapi yakin.

Tok Guru tak percaya dengan mata kepala sendiri. Dia bangkit. Tanpa haram sepatah kata pun dia tinggalkan Awang seorang diri. Tok Guru jalan ke paip. Kemudian terus menunaikan sembahyang fardu Asar bersama jemaah yang sedang menunggunya tadi.

Keesokan harinya, peristiwa serupa berlaku lagi ke atas diri Awang. Dia tidak marah. Apatah lagi putus asa. Dia pernah dengar orang kata: “Hendak menuntut ilmu Tuhan ini kena banyak sabar.” Itu yang dia lakukan sekarang – sabar. Satu ujian.

Masuk hari ketiga baru Tok Guru ingin bercakap dengan Awang. Awang menanti. Tekun dan berdebar.

“Mana ayah kamu?” tanya Tok Guru keras.

“Ayah sudah meninggal. Eksiden,” kata Awang jujur.

Terkejut Tok Guru. Rasa tiada daya lagi untuk menepis. Tok Guru terpaksa menerima Awang sebagai anak muridnya. Hatinya sungguh geram.

“Apa itu?” kata Tok Guru sambil menjuihkan bibirnya ke arah bungkusan sebelah Awang.

“Untuk Tok Guru. Nangka 10 tinggal sembilan,” sambut Awang dengan penuh bangga.

Tok Guru pun mengambilnya. Dia buka bungkusan itu. Memang benar nangka. Hanya nangka. Tiada kertas not biru dan merah. Dia kecewa.

“Baik, Tok Guru ajar kamu petang ini. Ikut Tok Guru lepas bacaan ini,” kata Tok Guru tegas.

Awang mengangguk kepala sekali sahaja sebagai tanda akur.

“Bismillahirrahmann irrahim, nangka 10 tinggal sembilan,” sebut Tok Guru dengan penuh lagu.

Lepas sekali dengar, Awang pun sebut dengan penuh gaya dan semangat. Sampai terpejam mata. Ikut seperti Tok Guru buat. Dia disuruh ulang beberapa kali bacaan itu. Tanpa disedari, Tok Guru sudah lama meninggalkannya seorang diri.

Semenjak hari itu, ke mana Awang pergi dia akan mengalunkan lagu itu juga. Ada ketika orang tersenyum sinis kepadanya. Lebih-lebih lagi ketika membasuh pinggan di restoran – “Bismillahirrahmann irrahim , nangka 10 tinggal sembilan.” Kerja siap sepantas kilat. Awang sungguh seronok. Hajat di hati tercapai sudah.

Apabila Awang berjalan di sekitar rumahnya, ada orang bertanya, “Dari mana adik belajar lagu itu?” Dengan penuh bangganya dia akan menceritakan kepada mereka dari A hingga Z. Dia tidak malu. Itu adalah usahanya.

“Tok Guru tak ajar komputer dengan adik?” tanya si ibu pada suatu malam.

“Apa bu!?” jawab Awang kuat seolah kurang dengar. Dia sedang asyik mengulang bacaan itu supaya menjadi lebih lancar dan sedap.

“Komputer… eh, apa tu….? Orang sekarang kata kom-pu-ter,” ulang si ibu latah sambil menggaru epidermis kepala yang tidak gatal.

“Belum lagi. Tok Guru suruh pandai yang ini dulu.”

“Ibu tengok adik bukan main seronok sekarang.”

“Mestilah bu. Adik nak jadi pandai.”

“Ikut suka hati kamulah adik. Ibu tumpang gembira.”

Lepas itu, tidak lagi dengar suara Awang. Dia terlena dengan mulut terlopong. Perlahan-lahan si ibu ambil kain batik basahan menutup tubuh Awang yang tak berbaju itu. Si ibu menarik nafas lega sambil menggeleng-geleng kepala. Kemudian si ibu beredar meninggalkan Awang tidur seorang diri untuk esok.

Petang ini Tok Guru mengajar seperti biasa. Tapi dia rasa tidak sihat sikit. Badan seram sejuk. Nak kata demam, dia tak rasa panas. Kadang-kadang terasa kebas di hujung jari tangan. Peluh memanik di dahi. Dia mula buka kancing baju Melayu lima butir itu dari atas. Satu demi satu. Serban di kepala ditariknya turun untuk menyapu peluh di muka. Tiba-tiba dadanya dicengkam kesakitan. Dia mula sesak nafas. Tok Guru mengerang kuat kesakitan. Terkejut kanak-kanak yang hadir. Kemudian dia rebah pengsan tak sedar diri. Seluruh taman gempar.

Tok Guru dihantar ke hospital dengan kadar segera. Wayar berselerak di tubuh. Dada turun naik perlahan. Mata pejam rapat seperti orang tidur. Alat ECG berdecip lemah di atas kepalanya. Urat tangan kiri ditusuk dengan jarum Normal Saline dan Dextrose . Dia terkedang di atas katil. Tidak sedar diri. Tiada kepastian bila Tok Guru akan sedar. Begitu kata doktor yang merawatnya.

Isteri dan anak-anak silih berganti menemani Tok Guru. Siang dan malam mereka berada di sisi. Harap dan doa semoga dia kembali sihat. Tapi hampa. Tok Guru sedikit pun tak berubah. Keadaan seperti hari pertama masuk wad. Mata pejam. Badan terbujur kaku keras.

Walau bagaimanapun, Tok Guru dibawa pulang juga. Jasad sungguh uzur. Sudahlah kurus, tulang dada tersembul keluar. Mata cengkung dan hitam di sekelilingnya. Rambut jarang, gugur. Kuku jari dan kaki tumbuh panjang. Seluruh badan kelihatan lebam di sana sini. Dalam rongga mulut berkerak Candida tumbuh seperti orang mengidap AIDS .

Amat pelik sekali ialah badan Tok Guru berbau busuk macam mayat. Siapa yang datang melawat pasti termuntah. Tak boleh tahan lama. Mereka berpandangan antara satu sama lain dan bertanya dalam hati kecil masing-masing, “Kenapa begini? Macam orang mati!” Jawapannya tiada siapa tahu.

Kalut kawan-kawan Tok Guru baca Yasin di rumah. Tak cukup itu, sembahyang hajat beramai-ramai. Semua harap Tok Guru dapat pergi dengan tenang bertemu Tuhan. Tak sanggup lagi melihat Tok Guru menderita. Tapi nyawa Tok Guru liat. Ketegar tak mahu pergi meninggal badan. Entah apa lagi yang tak kena. Sungguh mereka bingung. Cari jalan tak ke sudah.

Kali ini mereka kumpul semua sanak saudara, handai taulan, jiran, kawan-kawan dan anak-anak muridnya. Mereka semua pakat menziarah Tok Guru. Semasa itu, kemaafan dibisikkan ke telinga Tok Guru. Masih begitu juga. Tiada perubahan. Dia terkedang di atas katil seperti diseksa. Semua orang bingung mati akal. Tidak tahu apa lagi yang harus dibuat. Akhirnya, lawan tengok sesama sendiri.

“Siapa lagi yang tak datang?” tanya seorang ustaz kepada sekumpulan orang taman.

“Rasa-rasanya semua dah dipanggil,” jawab salah seorang daripada mereka.

“Apa lagi agaknya?” rungut ustaz dalam menungan.

Tiba-tiba.

“Bismillahirrahmann irrahim, nangka 10 tinggal sembilan.”

Semua orang memanggung kepala seperti ayam memanggung kepala apabila nampak sewah dalam rumah itu. Cepat-cepat mereka pergi tengok di luar. Nun, di sana mereka nampak Awang. Terkedek-kedek seorang diri berjalan menuju ke bandar. Dia dipujuk datang cepat. Lepas itu, jenazah Tok Guru selamat dikebumikan. Tiada halangan lagi. Awang pun kembali bergerak seperti biasa. Yang tinggal hanya sunyi sepi. Sayup-sayup kedengaran, “Bismillahirrahmann irrahim, nangka 10 tinggal sembilan.”

————————————-

Rasullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Sedekah seorang kamu yang ikhlas itu menutup 70 pintu kejahatan. Sedekah seseorang kamu itu akan dibalas oleh Allah S.W.T. dengan 4 jenis pembalasan iaitu:

  • Satu sedekah dibalas 10 kali ganda iaitu untuk sedekah kepada fakir miskin.
  • Satu sedekah dibalas 70 kali ganda iaitu sedekah kepada kaum keluarga dan sanak saudara.
  • Satu sedekah dibalas 700 kali ganda iaitu sedekah kepada sahabat handai dan teman-teman.
  • Satu sedekah dibalas 1000 kali ganda iaitu sedekah kepada para penuntut ilmu atau orang yang berjihad ke jalan Allah.

7 thoughts on “Nangka Sepuluh Tinggal Sembilan”

  1. Meyna:
    Sedih dengar cerita Meyna, tak dapat Asid bayangkan kehilangan ibu tercinta. Berbakti dan berbuat baik tatkala mereka masih berada. Semoga Mama Asid sihat selalu, itulah yang selalu Asid doakan.

    Apapun yang penting kita sedekahkan Al-Fatihah dan doa banyak kepada Arwah. Moga dengan itu, mereka tenang dan bahagia sementara menunggu hari pabila semua orang dibangkitkan semula nanti. Sedikit sebanyak juga, jiwa kita akan tenang.. InsyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *