Kaitan Antara Asma, Hernia

Benjolan akan mengecil serta membesar kembali apabila batuknya kuat dan kerap

Soalan:

Saya mempunyai anak perempuan yang berumur 4 tahun setengah yang mengidap penyakit asma sejak dia berusia 3 tahun. Sejak kebelakangan ini asmanya menjadi-jadi dan hampir setiap minggu dia dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Apa yang lebih membimbangkan, 2 minggu lepas saya dapati ada benjolan pada kiri labianya sebesar telur puyuh dan ini membuatkan labianya kelihatan besar sebelah. Saya cuba menekannya dan anak saya mengatakan ia sakit apabila ditekan dengan kuat. Namun sekiranya batuk anak saya agak berkurangan, benjolan itu akan mengecil serta membesar kembali apabila batuknya semakin kuat dan kerap. Untuk kepastian, saya membawanya berjumpa doktor dan doktor mengesahkan ianya hernia atau angin pasang. Doktor mencadangakan supaya melakukan pembedahan. Agak pelik ia berlaku kepada kanak-kanak perempuan sedangkan pada pengetahuan saya, penyakit ini sinonim dikalangan kanak-kanak lelaki.

  • Apakah punca dan kesan hernia? Apakah kaitan asma dengan hernia?
  • Apakah potensi benjolan itu akan menjadi lebih besar? Bagi benjolan sebesar telur puyuh, berapa lama ia sudah berlaku?
  • Adakah hernia berlaku akibat batuk terlalu kuat hingga menyebabkan saluran ususnya tersembul kesaluran lain yang menyebabkan berlaku benjolan itu? Atau mungkinkah tekanan kuat ke atas perut akibat batuk yang kuat dan kerap menjadi punca masalah itu?
  • Apakah ada kaedah rawatan lain yang boleh dilakukan untuk menyembuhkan hernia selain pembedahan? Sekiranya pembedahan dilakukan, adakah hernia akan kembali berlaku memandangkan batuk asma masih tidak sembuh sehingga boleh menyebabkan lebih tekanan?
  • Apakah kesan sampingan ke atas pembedahan hernia kepada anak saya? Mungkinkah ia akan menganggu sistem peranakan atau syahwat anak saya apabila sudah berumah tangga?

Jawapan:

HERNIA walaupun lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh berlaku pada perempuan. Ada dua jenis hernia mengikut kawasan lemah hernia berlaku iaitu Hernia Inguinal dan Hernia Femoral.

Hernia Femoral lebih berlaku kepada wanita namun dalam kanak-kanak ini, ia mungkin Hernia Inguinal memandangakan benjolan terbabit menuruni sehingga labia kirinya. Benjolan ini lazimnya sebahagian daipada usus kecil yang memasuki kantung hernia.

Hernia berlaku apabila kawasan hernia atau femoral itu yang sedia lemah menerima tekanan berterusan sehingga akhirnya berlaku benjolan ke luar dari ruang intra-abdomal.

Kawasan inguinal ini membenjol keluar seperti poket dan menuruni sehingga ke kawasan labia. Faktor yang boleh menambah tekanan adalah seperti ( Faktor ini juga boleh meyebabkan buasir atau prolaps rahim)

  • Batuk kronik atau berpanjangan
  • Kerap menekan misalnya sering sembelit
  • Mengankat barang berat
  • Kehamilan
  • Ketumbuhan intra-abominal

Hernia memerlukan pembedahan menutup atau menampung kawasan lemah terbabit. Kawasan lemah ini akan memberi ruang tambahan untuk organ intra-abdominal memasukinya malah boleh menyebabkan penyumbatan pada kawasan leher bukaan lemah ini.

Namun selepas pmbedahan, hernia boleh berulang jika penyebabnya berterusan , malah ia juga boleh menyebabkan hernia berlaku pada kawasan sebelahnya (kanan). Selain pembedahan, hernia boleh diredakan secara menampung bukaan kawasan inguinal menggunakan tali pinggang lebar atau bengkung namun ia hanya bersifat sementara saja.

Kanak-kanak ini perlu mengambil rawatan bersesuaian bagi penyakit asma. Berjumpa pakar perubatan dalaman untuk penyakit itu dan dapatkan rawatan pembedahan mambaiki hernia daripada pakar bedah.

Hernia tidak membabitkan sistem peranakan, syahwat atau kesuburan. Namun, secara tidak langsung hernia boleh menyebabkan perasaan malu, tidak selesa atau kesakitan yang boleh menganggu.

Petikan Akhbar Metro Isnin, 4 Jun 2007 Pakar Sakit Puan Dr. Adilah Ahmat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *