Hari Kedua di Hospital

Hari kedua selepas bersalin, rasa oklah sikit berbanding semalam walaupun sakitnya lebih terasa memandangkan kesan biusnya dah hilang. Hanya bergantung kepada ubat-ubatan untuk hilangkan sakit, walaupun payah nak menelannya terpaksalah memaksakan tekak untuk menelan. Janji luka cepat sembuh dan mengelak dari jangkitan kuman yang merbahaya. Apa yang paling ditakutkan masa post natal ini ialah “Bentan” iaitu luka dibuka semula sebab jangkitan kuman atau luka terbuka sendiri disebabkan terjatuh ke batuk ke.

Hari kedua ini hendak batuk pun tak boleh. Kalau terpaksa batuk juga kena pegang dan apongkan perut dengan kedua-dua tangan. Angkat sedikit dari tempat luka tuh. Bila batuk atau bersin kekadang rasa nak menangis. Rasa sakit sangat. Tambahan lagi bius seluruh badan ini, banyak kahak jadi tekak asyik gatal aje. Wad pula sejuk giler. Pendek kata, banyakkan bersabar. Bila terasa sakit, teringatkan anak-anak, jiwa pun menjadi tenang, sehingga boleh tersenyum walaupun sakit terasa.

Hari ini juga, badan tak boleh nak bergerak walaupun nak bangun untuk duduk. Luka disebelah kanan memang sakit sangat kali ini sebab ceasar kali ini Asid ada tumpah darah (komplikasi), dalam satu liter darah hilangnya. Tekanan darah pun jadi rendah sebab kurang darah.

Kekadang nak mengiring pun takut. Takut luka terbuka. Jururawat pelatih yang tolong lapkan badan, tukarkan pakaian dan tukar cadar katil. Masa nak bersihkan badan, sekali lagi Asid alami sesak nafas. Kelam kabut pelatih dibuatnya. Thanks kepada senior nurse yang dapat menenangkan Asid dan boleh bernafas dengan sewajarnya. Bila sesak nafas, rasanya entahlah nak cakap macam mana. Ibarat nyawa seperti telur dihujung tanduk. Terbayang saat kematian rasanya.

Bila waktu makan terpaksa susahkan nurse lagi, tolong naikkan katil supaya badan tegak. Memang bersalin kali ini banyak susahkan mereka. Asyik-asyik panggil, maklumlah Papa datang visit lambat. Petang baru sampai sebab nak handle dan uruskan Ash dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *