TAG: Ada lagi TAG
August 7, 2009Arisha – Cucuk 2 bulan
August 8, 2009Fakta Tentang Tidur
Keperluan tidur setiap orang berbeza-beza tetapi secara puratanya kita memerlukan tujuh jam tidur yang lena bagi membolehkan badan berfungsi dengan baik pada keesokan harinya.
Tidur yang cukup bukan setakat merehatkan badan atau mengelakkan masalah mata cengkung tetapi ia mempunyai manfaat yang lebih penting. Tidur adalah satu keperluan dan ketika inilah badan akan memperbaiki
kerosakan yang berlaku pada sel serta membina sel baru.
Malah, ketika tidur, otak kita sibuk membuat persediaan untuk menghadapi keesokan harinya. Kajian ke atas haiwan dan manusia mendapati tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan membantu memelihara daya ingatan seseorang.
Apa sebenarnya yang berlaku ketika tidur masih belum dapat diterangkan dengan terperinci tetapi penyelidik percaya tidur membolehkan otak memproses semula perkara yang baru dipelajari supaya ingatan itu kekal.
Kajian ada mendapati tidur sekejap pada tengah hari juga dikatakan memberi manfaat terhadap kemampuan untuk belajar. Ujian ingatan terhadap responden yang diberikan empat kursus secara terus menerus menunjukkan keputusan yang agak ‘buruk’.
Bagaimanapun, daya ingatan mereka jauh lebih baik apabila diberikan rehat (tidur selama setengah jam) selepas dua kursus. Keputusan ini mencadangkan jika seseorang itu mendapat cukup rehat (fizikal dan mental) mereka mampu mempamerkan prestasi kerja atau pembelajaran yang lebih memberangsangkan.
Ini kerana selepas bangun daripada tidur, otak lebih segar dan boleh berfikir dengan cepat dan tepat. Tidur yang mencukupi juga dapat mengurangkan tekanan dan keresahan yang secara tidak langsung boleh menjejaskan kemampuan belajar.
Mungkin inilah sebabnya mengapa bayi, kanak-kanak dan remaja memerlukan lebih banyak tidur berbanding orang dewasa. Malah, kajian berkenaan juga menjelaskan mengapa golongan yang amat muda ini mudah menerima dan belajar perkara baru dalam hidup mereka.
Malah, tidur juga dianggap amat penting untuk proses pemulihan
terhadap kecederaan otak termasuklah pada pesakit strok kerana mereka perlu belajar semula untuk menguasai bahasa dan rutin harian.
Ada penyelidik menyarankan supaya kita tidur apabila berasa mengantuk. Namun, ramai yang ‘mengabaikan’ keperluan badan ini dan berusaha melawan rasa mengantuk sehinggalah tiba waktu untuk tidur. Ada juga yang masuk tidur terlalu awal tetapi tidak dapat melelapkan mata walaupun persekitaran bilik tidur sangat menyenangkan.
Justeru, setiap kali anda menghadapi masalah untuk menumpukan
perhatian, kajilah semula gaya hidup anda. Kekurangan tidur, tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan kurang bersenam semuanya memberi pengaruh besar dalam menentukan kualiti hidup kita seharian.
(Petikan dari http://www.sioloon.com)