Aboh Meninggal
November 2, 202424. Kisah Nabi Isa
November 4, 2024[22 & 23/25] – Nabi Zakaria & Yahya ‘Alaihissalam
Mahukah anda tahu…
1) Nabi Zakaria merupakan seorang yang sangat alim dan dihormati. Baginda merupakan biras kepada Imran, seorang sheikh yanh juga sangat alim dan selalu mengimamkan solat di Baitulmaqdis. Isteri mereka merupakan adik beradik (yang juga sangat alim dan dihormati) dan kedua-dua isteri mereka mandul maka mereka tidak mempunyai zuriat sehinggalah suatu masa ketika mereka sudah tua.
2) Pada suatu hari, ketika isteri Imran yang bernama Hannah sedang beribadah, dia terlihat seekor ibu burung sedang memberi anak-anak burung makan dan apabila angin bertiup, ia mengembangkan sayapnya dan melindungi anak2nya dari ditiup angin. Hannah tiba-tiba terasa dia sangat teringin memiliki anak sendiri walaupun usianya sudah tua. Maka dia berdoa kepada Allah dengan bersungguh-sungguh untuk mengurniakan mereka seorang anak. Dan Allah memakbulkan permintaannya.
3) Hannah bernazar, anak yang di dalam kandungannya itu akan didedikasikan untuk berkhidmat di jalan Allah dan akan tinggal dan membesar di sebuah mihrab – Rujuk al Quran (3:35). Tidak lama kemudian, lahirlah seorang bayi perempuan bernama Maryam. Hannah berdoa supaya Maryam dan zuriat yang lahir dari Maryam nanti sentiasa terlindung daripada syaitan – Rujuk al Quran (3:36). Istimewanya Maryam dan Isa (anak Maryam) adalah mereka tidak pernah diganggu syaitan. Bapanya, Imran telah meninggal dunia ketika Maryam masih dalam kandungan maka dia telah lahir sebagai seorang anak yatim. Oleh itu, orang-orang alim telah berdebat tentang hak penjagaan Maryam.
4) Nabi Zakaria berkata, “Tentulah aku yang paling layak menjaganya kerana aku bapa saudaranya”. Mereka berasa tidak adil begitu. Lalu mereka mahu membuat cabutan. Masing-masing meletakkan pen mereka ke dalam sebuah bekas kemudian mereka memanggil seorang budak untuk mengambil satu pen. Pen yang diambil ialah pen nabi Zakaria maka sepatutnya nabi Zakaria lah yang menang. Mereka batalkan cabutan itu dan memulakan semula cabutan. Mereka meletakkan pen-pen tadi ke dalam air yang mengalir dan syaratnya, pen siapa yang tidak mengikut arus air adalah pemenang. Kesemua pen bergerak mengikut arus air kecuali pen nabi Zakaria. Mereka membatalkan cubaan kedua itu dan buat satu lagi cubaan tapi syaratnya ialah pen siapa yang bergerak mengikut arus, dia menang. Dengan kuasa Allah, pen nabi Zakaria sahaja yang bergerak mengikut arus dan yang lain bergerak menentang arus. Apabila telah tiga kali menang, terang-terang Allah yang menghendakinya. Maka nabi Zakaria lah yang berhak menjaga Maryam.
5) Maryam membesar di mihrab sebagai seorg anak perempuan yang sangat alim, baik, suci, dan sentiasa dikasihi Allah. Dia bagaikan sering mendapat perhatian istimewa daripda Allah. Nabi Zakaria pernah melihat pada musim sejuk Maryam membawa buah-buah segar yang hanya tumbuh pada musim panas; dan pada musim panas dia membawa buah-buah segar yang hanya tumbuh pada musim sejuk. Apabila ditanya bagaimana dia mendapatkan buah-buah itu, Maryam menjawab, “Allah yang berikan kepadaku” – Rujuk al Quran (3:37).
6) Menyaksikan kejadian itu, nabi Zakaria sedar bahawa Allah boleh menjadikan apa sahaja. Nabi Zakaria dan isterinya dari muda lagi teringinkan zuriat dan mereka tidak pernah putus harapan. Kemudian nabi Zakaria berdoa kepada Allah, “Ya Allah, tulang-tulangku sudah lemah, rambutku sudah putih, namun aku tidak pernah berhenti mengharapkan kebaikan dari-Mu. Dan sesungguhnya aku bimbang akan kaumku dan isteriku pula mandul. Maka kurniakanlah kepadaku zuriat, dari sisi-Mu, yang dapat mewarisi kenabianku dan keturunan Yaakub.” – Rujuk al Quran (19:5-6). Dan Allah memakbulkan doanya. Allah menurunkan para malaikat untuk menyampaikan berita bahawa nabi Zakaria bakal menimang cahaya mata lelaki yang Allah namakan Yahya; tidak ada lagi orang yang bernama Yahya sebelumnya – Rujuk al Quran (19:7). Anaknya itu bakal mengesahkan ayat-ayat keterangan Allah (yang akan disampaikan oleh nabi Isa), dia akan menjadi ketua orang-orang alim dan dia tidak akan berkahwin kerana dia akan menyerahkan seluruh hidupnya kepada Allah. – Rujuk al Quran (3:39). Allah telah memberitahu semua ini kepada nabi Zakaria sebelum perkara itu terjadi lagi.
7) Nabi Zakaria terkejut dan bertanya kepada Allah, “Bagaimana aku boleh mempunyai anak pada usia tua dan isteriku mandul?” Dan Allah menjawab bahawa Allah boleh menjadikan sesuatu apabila Dia menghendakinya – Rujuk al Quran (3:40). Kemudian nabi Zakaria meminta tanda-tanda bila tiba masa bahawa isterinya sudah hamil. Allah berfirman, “Tanda-tandanga ialah kau tidak mampu bercakap selama 3 hari kecuali menggunakan bahasa isyarat. Ketika itu bertasbih dan berzikirlah pada setiap pagi dan petang.” – Rujuk al Quran (3:41). Tidak lama selepas itu, tibalah hari nabi Zakaria tidak dapat bercakap selama 3 hari namun baginda teruskan berdakwah menggunakan isyarat tangan, bertasbih dan berzikir. Selepas tamat 3 hari utu, tersebarlah berita bahawa isteri nabi Zakaria iaitu Elisha sedang hamil ketika nabi Zakaria berumur 90 tahun.
8 ) Nabi Yahya pun lahir dan membesar menjadi seorang nabi yang sangat alim. Personalitinya agak berbeza daripada orang lain, hampir sempurna. Ketika baginda kanak-kanak, ketika yang lain sibuk bermain, nabi Yahya sangat tekun dan serius mempelajari kitab Taurat sehingga baginda hafal satu kitab. Baginda menghabiskan masanya di rumah ibadat dan beribadah kepada Allah. Baginda juga sangat kasih dan simpati kepada umat manusia, haiwan-haiwan dan makhluk Allah yang lain. Nabi Yahya juga amat berjasa kepada kedua ibu bapanya, baginda tidak pernah ingkar dan tidak sombong. Nabi Yahya tidak pernah berkahwin kerana dia menyerahkan seluruh hidupnya untuk beribadah kepada Allah. Dan baginda sering menangis ketika mendalami ayat-ayat keterangan Allah dan ketika menyampaikan dalam khutbahnya sehingga menyentuh hati ramai orang. Oleh itu, baginda sangat disayangi pengikutnya.
9) Pada suatu hari, seseorang telah sampaikan kepada raja yang memerintah pada ketika itu bahawa orang ramai lebih menyayangi nabi Yahya berbanding raja mereka sendiri. Pada masa yang sama, raja itu sedang bercinta dengan anak saudaranya sendiri dan ingin mengahwininya. Oleh kerana rasa cemburu, raja itu mula memerhati apa yang nabi Yahya lakukan. Pada satu masa, nabi Yahya telah berkhutbah tentang larangan Allah terhadap perkahwinan dengan mahram sendiri dan hukuman ke atas mereka yang melakukannya. Raja tersebut menjadi marah kerana dia merasakan nabi Yahya biadap kerana memberi khutbah yang kena tepat pada batang hidungnya. Namun, pada ketika itu raja tersebut tidak berkahwin dengan anak saudaranya itu kerana tidak mahu rakyatnya memberontak.
10) Anak saudara raja tersebut merupakan perempuan yang jahat, dia ada muslihatnya sendiri. Dia tetap mahu berkahwin dengan bapa saudaranya jadi dia telah menggoda raja tadi di dalam majlis-majlis di istana. Dia mempunyai badan yang menggiurkan lalu dia menggoda bapa saudaranya dengan tarian, nyanyian, dan banyak lagi sehingga si raja merasakan bahawa dia perlu berkahwin dengan anak saudaranya itu. Akhirnya perempuan jahat tadi berjaya menambat hati bapa saudaranya untuk berkahwin dengannya dan meletakkan syarat perkahwinan, dia mahukan kepala nabi Yahya sebagai maharnya.
11) Maka nabi Yahya wafat dibunuh dan dipenggal kepalanya ketika sedang beribadah kepada Allah.
12) Istimewanya orang-orang dalam kisah kali ini ialah Allah telah mengangkat darjah mereka sangat tinggi sehingga Allah menamakan surah-surah di dalam al-Quran sempena nama mereka iaitu surah Maryam, sempena wanita istimewa di sisi Allah, dan surah Al-Imran, sempena ahli keluarga Imran iaitu Imran, Hannah, Maryam dan Isa.
Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.